Sunday, October 08, 2006

Baca...jangan tak baca...!

Perubahan Persepsi Selepas Kemenangan Hizbullah di Lubnan !!!

Kemenangan Hizbullah dengan jumlah tentera terhad menghadapi serangan Israel dengan tentera yang dikatakan keempat terkuat di dunia selama 34 hari di Lubnan (bermula 12 Julai dan gencatan senjata pada 14 Ogos 2006) di luar dugaan.

Tetapi begitulah realitinya dengan izin Allah sesuai dengan FirmanNya yang bermaksud: Berapa daripada golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah (al-Baqarah, 2: 249).

Tentera Israel dianggap kuat dan digeruni berdasarkan pengalaman yang lepas, melalui peperangan 1967 Israil dapat mengalahkan Mesir, Syria dan Jordan dalam masa empat hari dan dengan itu dapat meluaskan sempadannya dengan merampas sebahagian dari tanah-tanah negera-negara tersebut.

Israe juga pada tahun 1982 pernah menceroboh Beirut bagi menghancurkan kumpulan Arafat yang terpaksa keluar dari Lubnan mengungsi ke Tunisia. Israil digeruni dan terus membuli penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza berterusan tanpa pembelaan.
Konflik di Asia Barat adalah racun-racun yang terhasil dari konspirasi Barat melalui Perjanjaian Balfour mewujudkan Negara Israel di Palestin 1947 yang menjadi duri dalam daging bagi negeri-negeri Arab dan Islam.

Konflik Arab dengan Barat dan Israel berentetan berlaku selepas kewujudan Israil, apabila Mesir di bawah Jamal Abdul Nasir Presiden Mesir merampas Terusan Suiz (1956) dari British dan berperang dengannya yang disertai Israel dan Perancis.

Namun Jamal Abdul Nasir meninggal mengejut akibat dari konspirasi musuh. Penggantinya Anwar Sadat yang pada masanya berlaku peperangan antara Mesir dan Israel
(1973) yang membawa kepada perjanjian damai yang mengeluarkan Israel dari Semenanjung Sinai bagi menjamin keselamatan Israel.

Ini membawa Mesir berbaik-baik dengan Israel dan Barat dan Sadat dibunuh tenteranya kerana dianggap pembelot Negara dalam satu upacara perbarisan.
Namun begitu Mesirlah merupakan Negara Arab pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel dikuti oleh Jordan. Kini Amerika menganggap Mesir, Jordan, Saudi Arabia dan Kuwait adalah sekutunya.

Manakala Syria dan Iraq tetap memusuhi Israel sebelum Iraq sendiri ditakluk Amerika (Mac 2003) bagi kepentingan ekonomi, strategi, politik dan bagi melindungi Israel.
Iran Negara di luar dari Arab bersama Syria terus berkonfrontasi dengan Israel.
Dengan kedudukan ini penduduk Palestin yang merupakan penduduk asal bumi Israel tertindas di bawah regim Zionis, termasuk di Gaza yang ditawan Israel, manakala Lubnan menghadapi ancaman dalaman dari militia Kristian (Flangist) yang berpihak kepada Israel dan menggugat keselamatan Lubnan melalui perang saudara yang membuka ruang kehadiran tentera Syria bagi memastikan keamanan di Lubnan.

Dengan peranan ini mengukuhkan pengaruh Syria di Lubnan, iaitu sesuatu yang tidak disukai Israel dan pelindungnya - Amerika.
Pembunuhan Perdana Menteri Lubnan Rafik Hariri (15 Februari 2005), melalui letupan kuat yang turut memakan korban 16 yang lain di dalam satu konvoi memberi peluang pihak pembangkang di Beirut yang anti Syria dan disokong Barat dan Israel menuduh bahawa pembunuhan adalah dari angkara Syria, walaupun hakikatnya hingga kini belum ada kepastian.
Sikap anti Syria yang ditanam Barat dan sekutunya terutama Israel berjaya menimbulkan rasa kebencian rakyat Lubnan terhadap Syria yang membawa Syria keluar dari Lubnan.

Namun begitu kekosongan yang ditinggalkan Syria tidak meredakan kebimbangan Israel. Ibarat patah tumbuh hilang berganti, kekosongan menonjolkan kumpulan yang selama ini belum begitu terkenal, iaitu Hizbullah yang ditaja penubuhannya oleh Syria dan Iran.
Serangan Israel terhadap Lubnan 1982 memperkasakan Hizbullah sebagai kumpulan tentera tempatan terkuat di Lubnan. Gugatan dari Hizbullah membawa Israel yang menduduki Lubnan selama 22 tahun itu keluar dari Lubnan yang diceroboh pada (1982) bagi menjamin keselamatan Israel.

2. Pelan Strategi Barat

Pergolokan di Asia Barat adalah dalam rangka plan strategi Barat menguasainya dari segi ketenteraan, ekonomi dan politik. Dalam situasi semasa Barat melihat Israil sebagai proksi utamanya yang dari segi strateginya berjaya mengawal kekuatan di Asia Barat sehingga tidak ada Negara yang berani mencabarnya dan berjaya menindas pergolakan dalaman (Palestin dan seumpamanya) secara efektif.

Negara yang dahulunya menentang Israel dan Barat dapat dineutralisekan seperti Mesir dan Jordan, negara yang terus menentang dapat dikalah dan ditundukkan, iaitu Iraq dan Afghanistan, negara mementingkan keselamatan mengambil sikap tidak terlibat seperti Arab Saudi, Qatar, Emirates Arab Bersatu dan negara yang masih menentang Israel dan Barat ialah Syria dan Iran.

Biar apa pun keadaan hasrat Barat, khususnya Amerika, British dan Israel adalah mengawal Asia Barat dan menguasai ekonomi, khususnya minyak (selain dari Iran).
Dari segi politik dan ideologi Barat mencari helah bagi mewajarkan mereka terlibat, campur tangan dan penguasaan. Mereka masuk (menyerang) ke Negara-negara Arab, contohnya ke Iraq melalui alasan palsu (wujudnya senjata pemusnah - nuklear) bagi menukarkan pemerintahan disifatkan sebagai diktator kepada pemerintahan demokrasi.
Ini tidak ditekankan terhadap negara yang tidak mengamalkan konsep demokrasi ala Amerika yang tidak menjadi ancaman kepada mereka.

Sebab itu dapat dilihat mengimport demokrasi bukan menjadi tujuan utama dan sebenar, tetapi adalah penguasaan secara ketenteraan dan ekonomi.
Persamaan umum yang terdapat di Negara-negara di Asia Barat ialah faktor keagamaan. Faktor ini dilihat menjadi faktor pengukuh dan penyatuan umat Arab dan negara Islam lain di dunia.

Selepas kejatuhan Uni Soviet selepas 1990an, dilihat Islam menjadi pencabar terhadap Amerika. Kebangkitan Islam dilihat berlakunya sejak 1970an yang ditandai dengan Revolusi Iran dan kecenderungan kembalinya Negara-negara Islam terhadap Islam.
Dengan penyatuan akidah dan kekuatan ekonomi yang ada pada Negara-negara Islam, maka Negara-negara Blok Islam adalah merupakan ancaman terhadap Amerika, khususnya selepas kejatuhan Uni-Soviet.

Lantaran itu beban kekalahan Rusia di dalam menghadapi Mujahidin di Afghanistan diambil alih oleh Amerika dan kini lebih diperkukuhkan lagi Barat bagi membantu Amerika yang di dalam keletihan, ialah dengan meletakkan kekuatan NATO di Afghanistan.
Amerika terpaksa menumpukan perhatian pada Iraq yang diserang (2003) yang dijangka dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

Tetapi bahana perang dan kekacauan di Iraq berterusan menuntut kurban rakyat tempatan, tentera Amerika dan sekutu-sekutunya.
Sejak berlakunya kebangkitan Islam Amerika terpaksa mencari formula yang secara psikologinya dapat melemahkan umat Islam dan membantu dari segi ketenteraan. Istilah yang digunakan ialah `Militan`.

Istilah ini digunakan terhadap Taliban yang menentang Amerika yang mengambil alih penjajahan dari Rusia (2001).
Pada hakikatnya yang ganas dan militan ialah Amerika pendatang tak berkenaan yang datang mengganggu dan menguasai Negara orang.

Istilah ini digunakan terhadap penentang Amerika seperti Osama Bin Laden dan pengikut-pengikutnya yang dikatakan di dalam 'Al-Qaeda'. Sebagai satu konspirasi terbesar sanggup dilaku Amerika bagi memprojek ganas terhadap Islam ialah dengan mencetus peristiwa 11 September 2001 di Amerika yang mengorbankan 3000 jiwa.
Semata-mata bagi menegakkan image `Ganas` atau `Militan` yang dilabelkan terhadap kalangan orang Islam yang menentang Amerika.

Kempen ini semakin kukuh selepas peristiwa 11 September. Akhirnya kini label ganas bukan lagi terhadap pejuang-pejuang Islam di Afghanistan, di Iran atau di Iraq, tetapi imagenya menjadi menyeluruh Islam sebagai militan.
Pope Benedict XVI Ketua Gereja Roman Katolik turut menyatakan yang Islam militan pada pertengahan September baru-baru ini. Semua ini membangkitkan kemarahan umat Islam yang membayangkan kejayaan perancangan kempen Amerika.

3. Ujian Lubnan

Konflik antara Israel dengan pejuang Palestin dan Negara-negara bersempadan, khususnya Lubnan bukan sesuatu yang baharu, tetapi wujud sewujudnya Israil di bumi Palestin.
Penentang terhadap Israel, khususnya dari kalangan pejuang Palestin selama ini di atas dasar kebangsaan Arab-Palestin, bukan atas dasar agama yang menyatukan umat yang mengelilinginya.

Bahkan walaupun negara Arab yang berpecah yang masih belum dapat disatukan tidak mampu membantu Palestin, apa lagi menggugat Israel.
Pimpinan Palestin di bawah Al-Fatah yang diketuai Arafat dan kini Mahmoud Abbas diperkotak-katik oleh Israil dan tidak mampu menegakkan Negara Palestin secara mantap.
Kekukuhan dan kesepaduan lebih berlaku apabila perjuangan Palestin berasaskan Islam seperti yang diperjuangkan oleh seperti oleh Sheikh Yasin, Rantisi dan kini Ismael Haniyeh yang membawa kemenangan Hamas dan menguasai pemerintahan di Palestin (Kini berlaku penyesuaian kerjasama dengan Fatah di dalam pemerintahan selepas kemenangan Hizbullah di Lubnan).

Benih perjuangan menentang Israel di Lubnan disemarakkan oleh perjuangan yang berasaskan Islam di bawah parti Hizbullah yang mutakhirnya di bawah pimpinan Hassan Nasrallah yang mendapat sokongan daripada Iran dan Syria.
Berdepan dengan Israel dalam keadaan biasa, kedua-dua parti iaitu Hamas dari Palestin dan Hizbullah di Lubnan begitu lemah dan kecil di mata Israel.
Regim Israil amat ego dengan kekuatannya, tetapi peristiwa yang bermula dengan insiden yang keputusannya dibuat oleh Sheikh Hassan Nasrallah yang menghantar pejuang-pejuang Hizbullah menyeberangi sempadan ke Israel (Selatan Lubnan pada 12 Julai 2006), tentera Hizbullah berjaya membunuh lapan tentera Israel dan menawan dua orang daripada mereka (Newsweek, July 24, 2006: 14).

Dalam jarak masa yang dekat (25 Jun) sebelum Hizbullah menawan dua tentera Israil pergerakan Hamas telah menyusup dari Semenanjung Gaza yang Israel telah berundur darinya membunuh dua orang tentera Israel dan menawan seorang dari mereka.
Sebagai Negara yang kuat Israel, khususnya Perdana Menterinya – Ehud Olmert, menganggapnya sebagai satu tamparan terhadap kewibawaan dan menjejaskan maruah Israel. Bagi Israel tindakan Hamas dan Hizbullah tidak boleh dibiarkan.

Dengan penuh rasa angkuh dan mau menghukum Lubnan dan menghapuskan Hizbullah serta mengajar Iran dan Syria, Perdana Menteri Israel Ehud Olmart arah menyerang Lubnan pada 12 Julai yang dijangka selesai misinya dalam tempoh empat hari.
Namun diluar jangkaan Israel yang menggunakan berpuluh ribu tenteranya dengan ketumbukan kereta kebal dan serangan udara terhadap pertahanan Hizbullah dan kawasan penduduk awam, peperangan dijangka selesai dalam tempoh singkat, tetapi tidak dapat ditamatkan bahkan berlanjutan sehingga 34 hari.

Serangan Israel menyebabkan 15,000 unit rumah orang awam ranap (The Economist, August 19 - 25, 2006: 41), sejumlah 1,183 orang awam di Lubnan terkorban, 4055 cedera 974,184 kehilangan tempat tinggal (Time, September 4, 2006: 28).
Manakala 159 orang terbunuh di Israel yang daripadanya ialah 116 orang tentera Israil, manakala kematian bagi pihak Hizbullah seramai 80 orang, tetapi Israel mendakwa dapat membunuh 530 pejuang Hizbullah (The Economist August 19 - 25, 2006: 43).
Kemusnahan dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh sikap angkuh Israel kononnya untuk mendapat kembali dua orang tenteranya yang ditawan yang hingga kini masih belum terlaksana ialah sejumlah lebih RM10 bilion (US3.6 billion).

Dalam serangan Israel sebagaimana di Palestin berlaku peristiwa menyayat di Shabra dan Shatila, maka di Lubnan peristiwa pembunuhan di Qana, Selatan Lubnan menyayat hati di mana 28 orang terkorban, termasuklah 16 kanak-kanak.
Dari peristiwa ini menggerak tindakan diplomatik bagi menghentikan peperangan (The Economist, August 5 - 11, 2006: 21).

Untuk mengelak dari malu kerana tidak mampu memusnahkan Hizbullah, tidak mencapai objektif dalam peperangan dan tidak sanggup menghadapi kecaman dunia berterusan Israil menerima resolusi 1701 Majlis Keamanan Bangsa Bersatu meletakkan senjata.
Hizbullah dengan kekuatan terhad yang ada padanya telah melepaskan 12,000 roket ke arah Israel. Kekuatannya berterusan dan sehari sebelum gencatan bersenjata Hizbullah masih melepaskan sejumlah 246 roket ke arah Israel dan Ketua Hizbullah Hassan Nasrallah mengisytiharkan kemenangan ke atas Israel.(Nasrallah Wins The War, The Economist, August 19-25, 2006: 9).

Seterusnya bagi mengawal sempadan seramai 15,000 tentera Bangsa Bersatu (UNIFIL) dalam proses penghantaran ke Lubnan.

4. Perubahan Persepsi

Peperangan antara Israel dan Hizbullah di Lubnan mengubah persepsi umum, terutama dari kalangan yang langsung berdepan dengan Israil bahawa:
Tanggapan terhadap Israel berubah bahawa Israel sebenarnya tidaklah kuat. Mereka amat bergantung pada bantuan luar - Amerika.
Mereka bukannya dari kalangan tentera yang berani secara berdepan sebagaimana berlaku di antara Israel dan Hizbullah di Lubnan. Mereka lebih bergantung pada kekuatan pesawat udara.
Mereka mampu memusnahkan bangunan-bangunan; bukan tentera.
Dalam keadaan tidak bersedia, tergesa-gesa dan tiada bantuan secukup dari Amerika terserlah kelemahan dan kucar kacirnya tentera Israel.

Kemenangan Hizbullah hasil dari keteguhan Iman. Mereka masuk ke medan perang di atas dasar jihad fi sabilillah. Pilihan dihadapan mereka ialah syahid atau kemenangan.
Dengan ini mereka digeruni Israel, walaupun mereka sedikit dan dengan jumlah senjata terhad. Dengan kemenangan ini meletakkan Hizbullah sebagai model pejuang Islam dan sudah tentulah mengubah persepsi Israel terhadap Hizbullah bahawa mereka tidak seharusnya tersilap perhitungan terhadap Hizbullah dan tentera-tentera yang seumpamanya.
Hassan Nasrallah diterima sebagai pemimpin bukan saja bagi Hizbullah, tetapi bagi rakyat Lubnan, termasuk dari kalangan yang bukan Islam - Kristian.

Satu yang menarik Hizbullah bukan setakat mempertahankan diri dan bumi Lubnan, tetapi bertanggungjawab dan membela rakyat Lubnan yang mengalami kemalangan dan kemusnahan harta benda.

Hizbullah membayar pampasan bagi 15,000 keluarga yang kehilangan rumah, setiap keluarga menerima bayaran pampasan antara US10,000 hingga US15,000 dolar.
Hizbullah juga berjanji akan membina kembali bangunan-bangunan, pusat-pusat perkampungan dalam tempoh tiga tahun.

Hizbullah menghantar Pasukan Khidmat Masyarakat dengan memakai lencana yang tertera padanya ungkapan, "Jihad Pembangunan". Dengan peranan Hizbullah sedemikian menarik kepercayaan dan sokongan masyarakat.
Time di dalam artikelnya yang berjudul; The War for Hearts and Minds menulis: "Residents say, Hizbullah is the only group they trust to help. It`s our government". (Time, September 4, 2006: 28).

Amerika yang menyokong Israel makin dipandang rendah dan menanggung malu di atas kekalahan Israel, kerana Amerika pelindung dan pembantu setia dari segi persenjataan dan ekonomi.
Israel bukan saja dibantu kerajaan Amerika, tetapi rakyatnya. Di Amerika terdapat kumpulan lobi yang pro Israel iaitu (AIPAC) yang mempunyai keahlian 200,100,000 orang.
Kumpulan ini dianggap kumpulan lobby yang paling berpengaruh di Amerika yang berdiri teguh di belakang Israel.

Kalangan mereka terdiri golongan pendesak, kumpulan think tank, penghimpun dana dan mempengaruhi pengundi dalam menentukan pemerintahan.
Mereka bukan saja membantu Israel, bahkan menyusun program lawatan mereka ke Israel bagi membantu negara berkenaan.

Mereka sebenarnya memperkukuhkan Israel dari Amerika. Melahirkan rasa terhutang budi, Perdana Menteri Israil Ehud Olmart mengatakan:"Thank God we have AIPAC, the greatest supporter and friend we have in the world". (The Economist, August 5 - 11, 2006: 29).
Bagi pemimpin-pemimpin negara, yang merupakan sekutu Amerika, The Economist mencatat:"Pro-American governments, such as Egypt and Saudi Arabia, bluntly blame Hizbullah for this latest wasteful war". (The Economist July 22 - 28, 2006: 13).

Pendirian pemimpin kedua-dua negara ini agak pelik dan retrogressive, yang patut dikecam ialah Israel, kerana ialah yang memulakan perang dan memusnahkan Lubnan.
Adakah mereka mahu Hizbullah menyerah diri sahaja kepada Israel?
Mereka memandang rendah terhadap Hizbullah kerana mereka dari pengikut syiah yang sepatutnya tidak menjejaskan sokongan sesama Islam.

Pemimpin-pemimpin kedua negara ini dan negara Arab keseluruhannya (kecuali Syria) menanggung malu, apabila pada kesudahannya Hizbullah mencapai kemenangan.
Pada akhirnya bagi memelihara maruah dan menunjukkan pada dunia mereka bersama Lubnan, Saudi Arabia dan Kuwait menjanjikan pakej bantuan kepada Lubnan sebanyak US 800 milion dolar dengan tambahan pinjaman 'soft loans' kepada Bank Lubnan sebanyak US 1.2 bilion dollar (Times, September 4, 2006:30).

Sikap negara Arab menyerlahkan watak mereka yang berpecah dan berbalah dan tidak pernah bersatu, lantaran sedemikian, sebuah negara sekecil Israel yang menjadi duri dalam daging kepada mereka sejak dahulu hingga kini tak pernah terselesai.

5. Perang Proksi?

Peperangan di Lubnan adalah peperangan berlapis. Bermaksud ianya bukan peperangan antara Israel dengan Hizbullah semata-mata, jika Israel mewakili Amerika di Asia Barat dan Israel berperang bagi kepentingan Israel dan Amerika.
Amerika bukan saja merestui dan membantu, bahkan bermatian membela Israel di luar dan dalam Majlis Keselamatan dan PBB, bahkan berusaha melanjutkan masa peperangan dengan melengah-lengahkan dari memutuskan resolusi bagi gencatan senjata sehingga melebihi tempoh sebulan agar Israel mencapai objektif dan menang.

Hizbullah juga adalah mendapat sokongan dari Syria, lebih-lebih lagi Iran. Hizbullah diasas oleh pimpinan dari kedua-dua negara. Hizbullah mendapat bantuan dari segi logistik, ketenteraan dan peralatan perang dan lebih-lebih lagi kewangan.
Time memaklumkan bahawa: "Tehran regime sent some US 150 milion dolar in cash for Hizballah expected to give hundreds of million more to finance reconstruction projects". (Time, September 4, 2006: 26).

Kemenangan Hizbullah di Lubnan adalah kemenangan moral bagi Syria yang dipimpin oleh Bashar al-Asad dan Tehran yang dipimpin Ahmadinejad.
Bagi Syria dapat mengembalikan kepercayaan dan hubungan rapat dengan Lubnan yang telah renggang selepas berlakunya pembunuhan terhadap Bekas Perdana Menteri Lubnan - Rafiq Hariri.

Bagi Tehran, mengukuhkan Iran di dalam menghadapi tekanan Barat melalui Majlis Keamanan PBB, khususnya Amerika terhadap cita-cita Iran menghasilkan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan.
Iran dengan beraninya mengungkapkan hasrat 'menghapuskan Negara Israel dari muka bumi' dan menyanggah tekanan Barat yang tidak adil yang hak menghasilkan tenaga nuklear adalah bagi semua negara.

Iran mempunyai senjata yang ditakuti Barat, bahawa Iran mampu menggugat barat dengan kuasa minyaknya sebagai pengeluar keempat terbesar di dunia dan mengawal 40 peratus pengeluaran minyak dunia melalui Selat Hormuz.
Sebarang serangan dan tindakan terhadap Iran memasalahkan dunia dari bekalan minyak yang menyebabkan semakin melambungnya harga minyak.
Moral Amerika kini berada pada tahap paling rendah dengan masalah Iraq yang tidak terselesai dan berterusan, juga masalah di Afghanistan.

Keangkuhan Amerika bukan saja tercabar dengan kekalahan Israel di Lubnan yang menaikkan semangat umat Islam termasuk Iran.
Cabaran Amerika dijawab oleh Iran dengan latihan-latihan perang secara besar-besaran dan ujian peluru-peluru berpandu dari laut ke udara, dari darat ke darat secara jarak dekat dan jauh.

Iran juga menguji pesawat-pesawat tanpa pilot bagi mengesan musuh dan tidak dapat dikesan radar. Iran bersiap sedia untuk berperang yang bukan di luar kemungkinan berlaku (Time, September 25, 2006: 20-24).

6. Lubnan Pencetus Kuasa Pengimbang ?

Kini Israel dimalukan dengan kekalahannya di dalam peperangan dengan Hizbullah, Amerika sebagai pelindung Israil dan penjajah Iraq, Afghanistan dan berlagak sebagai penguasa dunia, tetapi mulai dipersoalkan peranannya yang bersifat imperialis dan menangguk ekonomi (minyak).
Tony Blair di England yang kuat menyokong Amerika kehilangan sokongan di negaranya kerana keterlibatan di Iraq dan bakal berundur.

Pendeknya Israel dan Barat terpukul mundur di medan perang, strategi dan diplomasi. Sebaliknya Iran di bawah pimpinan Ahmaddinejad yang tidak tunduk pada tekanan Amerika yang Barat menganggapnya mempunyai pemikiran membahayakan mampu menyanggah Amerika yang mahukan Iran menghentikan dari mengembangkan tenaga nuklear (Time, September 25, 2006: 14 - 17).

Hugo Chaves dari Venezuela mengecam Amerika sebagai syaitan dan Perves Musharraf Presiden Pakistan melalui bukunya 'In The Line Of Fire' mendedahkan tembelang Amerika mengugutnya agar bersama Amerika menentang Taliban, juga turut menentang Amerika Evo Moralis Ketua Negara Bolivia dan Ketua (Fidal Castro) dan dasar Cuba .
Dengan rentetan penentangan ini, maka keadaan sekarang adalah waktu yang sesuai bagi negara-negara dunia menyatu pendapat dan pendirian menentang keangkuhan Amerika.
Pimpinan seperti Ahmadinejad dan Hugo Chaves adalah mereka yang mampu kehadapan dari segi pimpinan.

Antara platform yang dapat digunakan ialah melalui NAM yang kini dipengerusi oleh Cuba berinspirasikan pemimpin berkaliber Fidal Castro bersatu dengan negara OIC di bawah pemimpin Malaysia (Pemimpinnya jangan terlampau lembut, tetapi perlu tegas menghadapi Barat).
Pimpinan badan-badan berkenaan perlu memberi sokongan dan bantuan kepada mereka yang berani menentang penyelewengan Amerika dan Barat.
Kerjasama NAM-OIC mampu menjadi satu 'Force Dunia' jika dikendalikan secara teliti dan berstrategi.

Jumlah Negara dan kependudukan yang mewakili separuh dari dunia dengan kekayaan yang ada terutama minyak, mampu menggugat kuasa-kuasa besar dan berperanan sebagai kuasa 'Menggugat dan Pengimbang' dan menghapuskan kuasa unipolar Amerika.
Pimpinan kedua-dua badan (NAM & OIC) perlu meningkatkan kualiti kepimpinan mereka dan menyokong mereka yang berkemampuan sehingga mencapai prestasi Blok Dunia Pengimbang yang berkualiti, berprestai dan berdigniti. Sekian.

Dr.Syafie Abu Bakar, Bangi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home