Saturday, July 08, 2006

OH NEGARAKU...NEGARAKU....

Pelajar IPTA mendaftar disebalik keperitan rakyat???

Pada 1 dan 2 haribulan Julai yang lepas merupakan hari pendaftaran bagi pelajar baru di kebanyakan IPTA dalam negara kita. Rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang bidang pekerjaan hadir ke kampus untuk "meninggalkan" putera mahupun puteri mereka dengan penuh harapan.

Tahniah saya ucapkan kepada yang berjaya. Kepada yang gagal, anggaplah bahawa anda sedang menanti kejayaan yang tertunda, dan bukannya menganggap bahawa kegagalan anda itu sebagai suatu kekalahan.

Rakyat Perit!!!

Biar terpaksa bergolok gadai, menjual tanah dan kebun, meminjam sana dan sini, bekerja siang dan malam, asalkan anak-anak mereka dapat menjejakkan kaki ke menara gading. Setelah dididik sekian lama sedari kecil hingga dewasa, maka tiada apa yang lebih diharapkan oleh ibu dan ayah melainkan untuk melihat zuriat mereka berjaya.

Cuma, saya terfikir sejenak akan kesukaran yang dihadapi rakyat saat ini. Bagi yang bertungkus lumus mengumpulkan wang untuk anak-anak mereka masuk ke universiti, maka akan disedari betapa sukarnya hidup di bumi yang diperintah oleh bangsa mereka sendiri. Jika 60 ataupun 70 tahun yang lepas, sewaktu negara terjajah oleh kuasa imperialis barat, maka tidak hairan kalau kehidupan rakyat tiada terbela kerana Inggeris dan Melayu tiada sebarang pertalian darah sedikit pun. 15 pupu pun tidak berkait!

Namun, apabila negara kita merdeka dan dipimpin oleh segolongan manusia elit, yang juga berdarah Melayu, keadaan tidak banyak berubah. Dasar Ekonomi Baru yang mensasarkan pegangan ekuiti Melayu sebanyak 30 peratus tidak mampu dicapai lagi. Bahkan setelah puluhan tahun berlalu, hanya 18 peratus dapat dikuasai oleh bumiputera. Itupun dibolot oleh beberapa taukeh besar Melayu sahaja seperti Syed Mukhtar Al-Bukhari dan Daim Zainuddin. Itu sekadar menyebut beberapa contoh.

Kos Meningkat

Rakyat pada masa ini khususnya golongan petani, nelayan, yang berpendapatan rendah dan miskin, semuanya bersusah-payah menyekolahkan anak-anak mereka. Apabila melangkah ke alam universiti pula, kos semakin bertambah. Yuran awal pengajian, kos menghantar anak ke kampus, barang-barang keperluan, bayaran itu dan ini yang mana semuanya membebankan golongan marhaen.

Ditambah pula dengan kenaikan harga minyak, tarif elektrik dan cukai tanah (sebilangan rakyat Johor sedang mengalaminya), maka dos penderitaan rakyat semakin meningkat. Pernah suatu ketika terdengar manifesto daripada parti-parti alternatif negara kita untuk menyediakan ruang pendidikan sama ada sekolah ataupun IPTA secara percuma kepada rakyat. Namun, tidak tercapai akibat kekuasaan BN yang berterusan hingga ke saat ini.

Ya, apa salahnya jika sistem pendidikan diberi secara percuma kepada rakyat? Bukankah kerajaan ini adalah daripada rakyat dan kepada rakyat jua??

SIAPA YANG Kaya?!

Sememangnya mustahil untuk belajar di negara ini dengan percuma ataupun sekurang-kurangnya ber-kos rendah. Rakyat jelas tiada wang. Ingin menghantar anak ke kampus dalam negara pun sudah cukup memeritkan.

Namun, Menteri Pelajaran telah pun menghantar anaknya untuk belajar di luar negara. Kenapa Hisyam? Tidak yakin dengan sistem akademik di Malaysiakah? Ataupun kamu sebenarnya mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa kamu adalah golongan atasan dan elit Melayu yang kaya dan mempu untuk menerbangkan anak ke luar negeri?

Ataupun Najib, rakyat yang menghantar anak-anaknya ke universiti mesti mengubah gaya hidup mereka? Kalau anak-anak orang Melayu Umno yang kaya, mereka boleh bersenang lenang? Anak nelayan dan petani yang terbeban dengan kos sara hidup saat ini pula, perlu ubah gaya hidup? Tidak perlu membeli buku akademik, makan mee maggi setiap hari, bersusah-susah dalam semua perkara?
Benar, ada PTPTN.
Namun, jika ianya berbentuk hutang dan mahasiswa akan dikejar hutang ini apabila bergraduasi nanti, apakah maknanya? Jika setelah bergraduasi terus mendapat pekerjaan, tidak mengapalah. Namun, setelah tamat belajar, terus dirundung pula dengan pengangguran!
Al-Hamra': Yang 2,3 kerat tuu jer yg kaya, rakyat jelata tetap papa-kedana!!!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home