Tuesday, May 02, 2006

Zainah Anuar, Nori Abdullah & Marina Mahathir : Keliru lagi Menyesatkan?

Saya sering terbaca di laman web dan di akhbar tempatan, pandangan Zainah Anwar, Nori Abdullah dan Marina Mahathir yang sedikit sebanyak mengelirukan khalayak pembaca dan barangkali diri mereka sendiri.

Umum mengetahui, bahawa ketiga-tiganya adalah pendukung kuat 'Sisters in Islam' yang prinsipnya mempertahankan kebebasan hak individu.
Terkini, tulisan Zainah Anwar dalam akhbar berbahasa Inggeris di bawah tajuk 'Seeking justice for Muslim women' yang memperkatakan diskriminasi terhadap wanita Islam dan menyatakan bahawa negara Malaysia mengamalkan aparteid agama (religious apartheid). Polemik ini pada asalnya dimulakan oleh Marina Mahathir apabila pandangannya tersiar di laman web Malaysiakini.com.

Dakwa beliau, undang-undang untuk wanita bukan Islam (sivil) mempunyai kesamarataan dan adil jika dibandingkan dengan undang-undang syariah untuk wanita Islam menjurus kepada sebaliknya.
Ingin dinyatakan bahawa adalah sesuatu yang aneh bagi seorang yang berlatarbelakangkan jurusan kewartawanan dan hubungan antarabangsa seperti Zainah Anwar dan sebagai seorang Islam, dalam hujahnya tidak menyatakan kes-kes ketidak-adilan secara terperinci dan dalil-dalil al-Quran atau Hadis sebagai rujukan yang mana khalayak pembaca atau ahli- ahli dalam bidangnya boleh menguji, membahas, mengkoreksi serta membincangkannya.
Begitu juga di laman web 'Sisters in Islam', segala pandangannya tidak dikukuhkan dengan dalil-dalil yang boleh menyokongnya dan hanya menyertakan jenis surah dan letak duduk ayatnya sahaja.

Dalam displin ilmu, apa jua sahaja ilmu, ia mesti disandarkan dengan rujukan, fakta dan huraian terperinci tentang sesuatu isu, tetapi tidak didapati dalam kenyataan dan pandangan mereka ini.
Setelah di perhatikan secara asasnya tulisan serta pandangan Zainah Anwar, Marina Mahathir mahupun 'Sisters in Islam' adalah menjurus kepada buah fikiran mereka sendiri yang berlandaskan emosi semata-mata tanpa merujuk kepada apa-apa fakta.
Seperkara yang unik dan ganjil terhadap Zainah Anwar dan Marina Mahathir juga 'Sisters in Islam' ialah setelah melemparkan tohmahan, kritikan, tuduhan dan ketidakpuasan hati, tidak pula memberi saranan-saranan, cadangan-cadangan mahupun idea-idea yang dirasakan bernas bagi memperbetulkan ketidak adilan (jika benar) terhadap wanita Islam.

Tidak berhajat untuk mengupas panjang atau membariskan semua kenyataan mereka ini untuk dipatahkan hujah, memadai dikutip beberapa bait-bait perkataan dilaman web 'Sisters in Islam' di bawah tajuk Pakaian dan Wanita Islam iaitu :-

1. Masalah pakaian wanita memang selalu merupakan perkara yang penting dalam pelaksanaan Syariah Islam, baik di negara ini mahupun di luar negara. Malah ada pihak-pihak tertentu secara berlebih-lebihan menganggap cara berpakaian tertentu itu mencerminkan iman seseorang.

2. Salah satu kesan obsesi yang demikian itu adalah banyaknya usaha yang dilakukan bagi menguatkuasakan keimanan melalui cara-cara kuku besi. Paksaan bercanggah dengan semangat al-Quran yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22)".

3. Kaum wanita telah diberitahu bahawa suatu cara berpakaian yang tertentu akan melindungi mereka dari kejahatan. Namun hakikat sosial menunjukkan bahawa cara berpakaian tidaklah mampu melindungi kaum wanita dari keganasan nafsu lelaki". (petikan penuh dalam http://www.sistersinislam.org.my/)

Jelas kelihatan di dalam kenyataan tersebut ia bersifat sembrono,melulu dan kabur yang diasaskan secara emosi semata-mata.

Lihatlah petikan yang pertama (1), ada pihak-pihak tertentu secara berlebih-lebihan menganggap cara berpakaian tertentu itu mencerminkan iman seseorang.
Siapakah yang dimaksudkan 'pihak-pihak tertentu' tersebut? Para ulama, ustaz, ustazah, pihak berkuasa, kerajaan, rakyat?

Atau yang dimaksudkan 'pihak -pihak tertentu' ialah Allah SWT sendiri, yang mewahyukan perintah menutup aurat tersebut dalam ayat 59 Surah Al-Ahzab yang mana Allah berfirman :-
"Wahai Nabi (Muhammad s.a.w.), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang beriman) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah maha pengampun lagi maha pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu)."
Ini kata-kata Allah, bukannya rekaan, permintaan atau pemberitahuan kaum lelaki kepada kaum wanita.Sekiranya Tuhan yang ingin dipertanggunjawabkan, maka saya pulangkan kembali untuk khalayak pembaca menilai sendiri sikap dan pendirian mereka ini.

Petikan kedua (2), menguatkuasakan keimanan melalui cara-cara kuku besi. Paksaan bercanggah dengan semangat al-Quran yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22)".
Benarkah iman seseorang dikuatkuasakan dengan cara kuku besi? Jika benarlah, tentulah Zainah Anwar orang yang pertama dihukum penjara, denda atau dicakar mukanya dengan kuku kerana tidak bertudung.
Tetapi lihatlah betapa bebasnya Zainah Anwar dengan gaya tersendiri malah berupaya menuduh pula Islam dan pengamalnya secara sesuka hati.
Berkaitan tentang kenyataan "paksaan bercanggah dengan semangat al-Quran yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22)".
Saya berpendapat bahawa Zainah Anwar atau 'Sisters in Islam' telah tersalah raba tentang surah yang dimaksudkan.

Surah-surah tersebut memberi kefahaman bahawa 'Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam. Ditujukan kepada umat Islam agar tidak memaksa orang bukan Islam menganuti agama ini.Sila lihat sirah petikan surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud "tiada paksaan dalam agama."
Adalah suatu kebiadapan apabila seseorang memutarbelitkan maksud atau tafsiran ayat tersebut demi kepentingan diri dan cuba menyesuaikan ayat tersebut dengan prinsip dangkal yang mereka miliki.

Manakala petikan (3) pula ialah "Namun hakikat sosial menunjukkan bahawa cara berpakaian tidaklah mampu melindungi kaum wanita dari keganasan nafsu lelaki."
Sekiranya pandangan ini bersandarkan hukum logik semata-mata, apalah gila dan mabuknya mematuhi peraturan jalan raya seperti penunggang motosikal perlu memasang lampu pada siang hari sedangkan terbukti kemalangan motosikal semakin lama semakin meningkat malah bertambah buruk dan Malaysia adalah salah satu negara yang terburuk kadar kemalangannya.
Fakta meningkat keganasan, kemalangan bukanlah menjadi satu alasan (escapism) untuk mengabaikan peraturan atau tidak perlu kepada peraturan tersebut.
Harus diingat bahawa hukum pakaian Islam bagi wanita Islam, bukan merupakan satu arahan dari mimpi kaum lelaki yang apabila terjaga keesokan hari lantas memerintahkan kaum wanita berpakaian comel agar boleh membendung nafsu lelaki.

Hukum ini adalah perintah dan arahan Allah SWT kepada semua umat Islam baik lelaki mahupun wanita dan dipandu serta ditegas pula oleh hadis Rasulullah s.a.w.
Terpulanglah kepada Zainah Anwar, Nori Abdullah dan Marina Mahathir untuk mengabaikan perintah Tuhan kerana percaya kepada kebebasan hak (sedangkan hak individu pun adalah kepunyaan Allah).

Cuma untuk episod-episod yang mendatang, janganlah mengheret khalayak pembaca dengan buah fikiran yang berpusing-pusing tak berkesudahan.
Teringat seorang tua berkata: "Punca anak kecil merengek dan menangis kerana lapar, dahaga dan sakit. Selain itu hanya sekadar inginkan perhatian dan jangan dilayan sangat, nanti bertambah mengada-ngadanya."
Saya pulangkan semula kepada sesiapa untuk mencantas hujah.
Yang terbaik datang daripada yang Maha Esa manakala yang buruk, silap dan lemah datang daripada saya sendiri.

Nota: Tujuan ulasan ini adalah kerana saranan rakan agar memperbetulkan pandangan khalayak pembaca terhadap Islam yang telah diputar belitkan oleh kenyataan mereka ini. Insya-Allah, ada kesempatan, artikel seumpama ini akan menyusul lagi bagi memperbetulkan kekeliruan terhadap Islam yang ditimbulkan oleh orang Islam sendiri.
From :lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home