Monday, May 08, 2006

SIAPA WANITA TERPUJI & WANITA YANG TERCELA???

Bagaikan kehendak sunnatullah, kalau ada yang panjang, tentulah ada yang pendek. Kalau ada yang hitam, tentulah ada yang putih. Kalau ada yang besar, tentulah ada yang kecil. Kalau ada yang gemuk, tentulah ada yang kurus. Kalau ada yang taat, tentulah ada yang engkar. Begitu juga kalau ada yang terpuji, tentulah ada yang tercela. Bercakap tentang wanita yang terpuji, sepatutnya kita tidak boleh melupakan juga wanita yang tercela.

Sejarah telah mencatatkan beberapa nama wanita yang terpuji yang di antara mereka ada yang dimuliakan Allah s.w.t. dengan syurga, dan di antara mereka ada pula yang dicela Allah s.w.t dengan neraka. Lantaran keterbatasan ruang, tidak semua wanita tersebut dapat dipaparkan di sini namun mudah-mudahan apa yang sedikit ini mampu juga menjadi ibrah (pengajaran) bagi kita. Ada sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ahmad, bermaksud:

“Paling utama wanita ahli syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiyah binti Muzahim.”

Dengan hadis ini sudah jelas bagi kita bahawa empat orang wanita yang telah disabdakan ini merupakan wanita termulia yang menjadi penghuni syurga. Sewajarnya para muslimat mencontohi akhlak keempat-empat wanita ini agar diperkenankan Allah s.w.t menjadi penghuni syurga.

Khadijah binti Khuwailid Baginda hidup dalam lingkungan keluarga yang terhormat sehingga mendapat asuhan akhlak yang mulia, sifat yang tegas, semangat juang yang tinggi, dan mampu menghindari hal-hal yang tercela sehingga kaumnya pada zaman jahiliyah menyebutnya dengan gelaran ath thahirah atau ´wanita yang suci´.

Baginda merupakan orang pertama menyambut seruan iman yang dibawa oleh Muhammad s.a.w tanpa banyak bertanya dan membantah juga bersoal jawab, bahkan tetap membenar, menghibur, dan membela Rasulullah s.a.w pada ketika semua orang mendusta dan menyingkirkan Nabi. Khadijah telah mengorbankan seluruh hidup, jiwa dan harta bendanya untuk kepentingan dakwah di jalan Allah s.w.t. Baginda rela melepaskan kedudukannya yang terhormat di kalangan bangsanya dan ikut merasakan embargo yang dikenakan terhadap keluarganya.

Peribadinya yang tenang membuatnya tidak tergesa-gesa dalam mengambil keputusan membenarkan kerasulan Muhammad s.a.w. Baginda tidak pernah akur dengan sebarang penafian masyarakat tentang kenabian Muhammad s.a.w. Sudah tercatat dalam sejarah, kebanyakan pendapat penduduk negeri waktu itu menganggap Muhammad s.a.w. sebagai orang yang telah merosakkan adat dan tradisi luhur bangsa Quraisy. Kerana keteguhan hati dan keistiqamahan Siti Khadijah dalam beriman inilah Allah s.w.t telah berkenan menitip salam-Nya melalui Malaikat Jibril dan menyiapkan sebuah rumah baginya di syurga.

Tersebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, beliau berkata:

“Jibril datang kepada Nabi, kemudian berkata: “Wahai Rasulullah, ini Khadijah datang membawa bejana berisi lauk-pauk, makanan dan minuman. Maka jika ia telah tiba, sampaikan salam untuknya daripada Rabb-Nya dan daripada aku, dan sampaikan khabar gembira untuknya dengan sebuah rumah daripada mutiara di syurga, tidak ada kecelaruan di dalamnya dan tidak pula ada kepayahan.”
(Hadis riwayat Bukhari).

Besarnya keimanan Siti Khadijah terhadap risalah nubuwwah, dan kemuliaan akhlaknya sangat membekas di hati Rasulullah s.a.w sehingga baginda selalu menyebut-nyebut kebaikannya walaupun Siti Khadijah telah wafat. Diriwayatkan daripada Aisyah, beliau berkata:

“Rasulullah hampir tidak pernah keluar dari rumah sehingga baginda menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah dan memuji-mujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu, maka aku berkata: Bukankah ia seorang wanita tua yang Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk kamu? Maka baginda marah sampai berkerut dahinya
kemudian bersabda:

Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh ia telah beriman pada ketika manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta pada ketika semua manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengurniakan anak padaku dan tidak dengan wanita (isteri) yang lain.

Aisyah berkata: Maka aku berjanji untuk tidak memburuk-burukkannya selama-lamanya.”

Fatimah binti Muhammad Beliau adalah puteri kesayangan Rasulullah s.a.w., puteri wanita termulia dan kukuh pegangan agamanya, isteri daripada lelaki berpekerti mulia iaitu Ali bin Abi Talib. Dalam sahih Muslim menurut syarah An-Nawawi, Nabi s.a.w. telah bersabda:

“Fatimah merupakan belahan diriku. Siapa yang menyakitinya, bererti menyakitiku.

Beliau rela hidup dalam kefakiran untuk mengecap manisnya iman bersama ayah dan suami tercinta. Beliau mengorbankan segala apa yang dia miliki demi membantu menegakkan agama. Fatimah adalah wanita yang penyabar, taat beragama, baik perangainya, cepat puas dan suka bersyukur.

Maryam binti Imran Beliau merupakan tokoh wanita yang menjaga kehormatan diri dan taat beribadah kepada Allah s.w.t. Beliau rela mengorbankan masa remajanya untuk bermunajat mendekatkan diri kepada Allah, sehingga Dia memberinya hadiah istimewa berupa kelahiran seorang nabi dari rahimnya tanpa bapa. Nabi yang dimaksudkan ialah Nabi Isa a.s. Asiyah binti Muhazim Beliau adalah isteri dari seorang penguasa yang tersangat zalim iaitu Firaun laknatullah ´alaih.

Akibat dari keimanan Asiyah kepada kerasulan Nabi Musa, beliau telah menerima pelbagai seksaan yang pedih dari suaminya. Betapa pun besar kecintaan dan kepatuhannya kepada suami ternyata di hatinya masih tersedia tempat tertinggi yang beliau isi dengan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Syurga menjadi tujuan akhirnya sehingga penderitaan dan kepedihan yang beliau terima di dunia sebagai akibat meninggalkan kemewahan hidup, budaya dan tradisi leluhur yang menyimpang dari syariat Allah ditelan begitu rupa demi kesenangan abadi.

Akhirnya Asiyah meninggal dalam keadaan tersenyum akibat seksaan pengikut Firaun. Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. telah berkata:

“Firaun memukulkan kedua tangan dan kakinya (Asiyah) dalam keadaan terikat. Maka ketika mereka (Firaun dan pengikutnya) meninggalkan Asiyah, malaikat menaunginya lalu ia berkata: Ya Rabb, bangunkan sebuah rumah bagiku di sisimu dalam syurga. Maka Allah perlihatkan rumah yang telah disediakan untuknya di syurga sebelum meninggal.”

WANITA TERCELA;

Sudah banyak diceritakan kepada kita tentang wanita-wanita tercela melalui kisah yang berlaku kepada dua orang rasul pilihan Alah iaitu Nabi Allah Luth dan Nabi Allah Nuh. Melalui peristiwa yang berlaku pada zaman nabi-nabi ini muncullah dua orang wanita yang dicela Allah s.w.t. akibat perbuatan mereka. Wanita-wanita tercela yang dimaksudkan ialah:

1. Isteri Nabi Nuh

2. Isteri Nabi Lut

Kedua-dua wanita ini dua orang isteri kepada para kekasih Allah yang tidak sempat merasakan manisnya iman. Hati mereka lebih condong kepada apa yang diikuti oleh masyarakat daripada kebenaran yang dibawa oleh suami sendiri. Mereka membela kepentingan kaum yang sesat kerana tidak ingin dimusuhi dan dibenci oleh orang-orang yang selama ini mencintai dan menghormati diri mereka. Maka kesenangan sedetik ini Allah gantikan dengan kebinasaan yang tercipta bersama kaum masing-masing.

Isteri Nabi Nuh turut tenggelam oleh banjir besar bersama kaumnya yang menyekutukan Allah s.w.t. dengan menyembah patung-patung orang soleh, sedangkan isteri Nabi Lut ditelan bumi kerana azab Allah atas kaumnya yang melakukan liwat (homoseksual).

Semua cerita ini telah Allah rangkumkan dalam sebuah firman-Nya yang indah dalam surah At-Tahrim ayat 10-12, yang bermaksud:

“Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang kafir. Kedua-duanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun daripada (seksa) Allah: dan dikatakan (kepada kedua-duanya): Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka).

Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisimu di dalam syurga. Dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim. Dan Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan kitab-kitab-Nya dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat.”

Semoga kisah para wanita ini mampu menjadi pengajaran bagi para wanita zaman ini untuk mencerminkan diri. Rajin-rajinlah bermuhasabah agar termasuk dalam golongan wanita yang terpuji. Di dalam diri sendiri ada kemahuan apakah mahu golongan yang dicintai Allah atau yang dimurkai-Nya?

Bagi wanita yang belum berumah tangga,

ketika ini merupakan kesempatan besar bagi mereka untuk memperbanyak amalan soleh dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. bukannya menghabiskan masa muda dengan beroya-foya dan melakukan kegiatan lain yang tidak bermanfaat. Dan bagi mereka yang sudah berumah tangga, selain menjaga keistiqamahan dalam beragama (Islam) mereka juga diberi beban tambahan oleh Allah s.w.t untuk membantu suami menjalankan suruhan dan tegahan agama.

Isteri yang demikian merupakan harta yang paling berharga. Dari kisah wanita-wanita yang terpuji tadi, kita juga mampu mengambil pengajaran bahawa dalam keadaan apa pun, hendaknya ketaatan kepada syariat Allah dan Rasul-Nya harus tetap di atas segala-galanya. Asalkan berada di atas kebenaran, kita tidak perlu takut dibenci oleh masyrakat, sahabat, mahupun orang yang paling istimewa di hati kita. Justeru kewajipan kita adalah menunjukkan yang benar kepada mereka.

Dengan berbuat demikian kita akan mendapatkan cinta sejati.... cinta Allah Rabbul´alamin. Mudah-mudahan kita selalu diberi keistiqamahan untuk mengatur langkah sebaik mungkin dalam mengamalkan syariat yang haq (benar) walaupun kita seorang diri.

Al-Hamra' : Nilai wanita yang Solehah adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home