Friday, May 19, 2006

Buat Para Pejuang Semua...Selamat Berimtihan!!!

NILAI SEBUAH KEJAYAAN...
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah Rabbul Izzati yang maha segalanya, terus mengurus dan mengatur alam maya ini mengikut jelujur SunnatuLlah yang telah disusun aturnya.Selawat dan salam buat kekasih sejati junjungan mulia Nabi Muhammad 'role model' suri tauladan kepada seluruh khalayak Muttaqin di persada taman mukmin ini.
Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,
Apa khabar semua? Didoakan agar semuanya berada dalam keadaan ceria dan senantiasa dilimpahi hidayah dan ria'yah daripada Allah SWT hendaknya.Insya Allah. Semoga kedatangan warkah ringkas ini tidak merusuhkan keadaan sahabat-sahabat yang barangkali bahang imtihan yang telah semakin meruap tatkala ini. Momentumnya terasa begitu dekat dengan kita semua.
Para pejuang ilmu Allah sekalian,
Ana percaya dan yakin segala usaha dan isti'dad seoptimum mungkin yang telah sahabat-sahabat lakukan bisa menghasilbuahkan natijah yang terbaik buat kita semua. Kekerapan ke kuliah, menyalin nota-nota, bermuzakarah bersama teman-teman, menghadiri kelas-kelas tambahan dan segala usaha yang telah teman-teman semua lakukan tersebut sebagai mabda' awal kepada sebuah kejayaan !!!
Lainlah jika hal-hal tadi tidak kita sempurnakan dek kelalaian diri sendiri atau kurang caknanya kita dalam proses pembelajaran dan pengajaran di bumi Kinanah ini.
Sahabat Sof pejuang agama Allah sekalian,
Percaya atau tidak, komposisi kita sekarang seumpama nafsi-nafsi yang tersusun dalam satu sof yang rapi lagi ampuh melangkah bersama-sama munuju ke medan juang yang tak pasti noktah penghujungnya. Realitinya, bila disebut 'Medan Juang' tentunya akal waras kita akan mentasawwurkan 2 natijah berada di hadapan kita, yang semestinya diakui oleh seluruh khalayak manusia bagi sesuatu 'perjuangan atau pertempuran', iaitu sama ada kemenangan dan kejayaan atau keduanya adalah sebaliknya.
Teman-teman yang dikasihi Fillah sekalian,
Bukan soal menang (berjaya) atau kalah yang perlu kita rusuhkan dalam memacu perit perjuangan ini, tetapi sebaliknya adalah sejauh mana partisipasi kita dalam mendepani 'globe' imtihan dan test tersebut. Maka dari dhomir yang paling halus lagi dalam, demi menginsafi kekurangan dan naifnya diri, marilah kita sama-sama "Ijlis Bina Wa Nufakkir Saah" bermuhasabah bersama segala isti'dad yang telah kita persiap dan 'asah' sebelum terjun ke medan ikhtibar sebenar nanti.
Beberapa persolan perlu dihujumi kepada akal-jasad sendiri :
Adakah kita tergolong dalam khalayak yang LAYAK untuk dimahkotakan kejayaan dan kemenangan? Sudah wujudkan dalam citradiri ciri-ciri dan sifat-sifat golongan AL-FALAH yang akan dikurnia nikmat nusrah daripada Allah SWT?
JIKA KITA TIDAK PUNYAI SIFAT-SIFAT INSAN AL-FALAH MANA MUNGKIN DOA KITA DIKABULKANNYA !!!
Maka jangan cuba untuk berangan-angan atau 'bermimpi di siang hari !!!'
Wahai teman yang bijak bistari,
Ketahuilah, bukanlah kejayaan itu seratusperatus dinilai kepada 'Jayyid Jiddan' atau 'Imtiyaz' yang kita rangkul dalam imtihan nanti, tetapi lebih dari itu: Imtiyaznya kita dalam menterjemahkan segala intipati kandungan kitab dan muhadharah yang kita hadhomi daripada doktor-doktor dan mashayeikh dalam penghidupan dan akhlak kita seharian itulah cermin segalanya.
Nilai kejayaan itu terlalu tinggi di sisi Allah SWT jika nak dibandingkan dengan sekeping kertas IJAZAH yang tertulis imtiyaz atau jayyid jiddan di mata manusia!
Apatah lagi jika sekadar makbul !!! Apa yang ikrah lagi dharuri ialah kesediaan dan komitmen kita untuk ditarbiah di bumi 'Tarbiah Nabi-nabi' ini, sebagai langkahan awal untuk kita terus indhimam dalam sof perjuangan dakwah Islam di tanah air nanti.
Pejuang-pejuang sekalian,
Berpaksikan paras fikir yang dipandu keimanan jitu, jelas dihadapan kita terbentang sebuah 'worldview' medan perjuangan yang maha hebat iaitu ' Imtihan Kehidupan'. Justeru, melalui KEINSAFAN DIRI marilah kita TAJDID kembali NAWAITU dan dhomir kita di sini. Berhamasah dan persoalkan kedudukan diri berada di bawah bumbung Al-Azhar yang tersohor ini.
Mulakan nuktah bidayah yang terbaik sebelum kita tersasar ke medan sebenar nanti !!!
Seterusnya dianugerahi hidayah kejayaan di sisi Ilahi. Insya Allah ! Tuntasnya, marilah kita ilmamkan sungguh-sungguh segala ilmu yang kita perolehi di wadi khazanah pusaka anbiya' ini sebagai bekal menghadapi imtihan dan ikhtibar sebenar bila kembali ke masyarakat mad'u nanti. Manfaatkan sepenuhnya masa yang masih tersisa buat kita.
Bukankah:
"Masa itu sebahagian daripada rawatan"
Akhi wa Ukhti Fillah,
"Berbahagialah Pemuda dan Pemudi yang selamat dari arus kepemudaannya"
Menjelang imtihan ini, tunaikanlah segala hak yang terbahu di atas kamu. Hak Allah sebagai hambanya, hak rasul sebagai umatnya, hak Quran sebagai pembaca dan pengamal isi kandungannya, hak ahli bait dan juga hak teman-teman kita, tidak lupa hak ummat islam seluruhnya mendoakan kesejahteraan mereka.
Hiasilah 'routine' harian kita dengan BERTAQARRUB kepada Allah, 'settle'kan segala amalan wajib, tambahi dengan ibadat sunat, bersedekah walau sedikit, berpuasa dan jangan sesekali tinggalkan munajat malam, Qiam berdiri,rukuk dan sujud dengan penuh kusyuk lagi khudu' dinihari mengadu segalanya kepada yang MAHA SEGALA-GALANYA.
Tanggungjawab dan amanah ilmu kita lebih besar dan mencabar di dunia luar sana !!!Berusahalah dengan segala daya memperolehi natijah yang terbaik dalam imtihan nanti buat hadiah istimewa buat bonda tercinta dan islam tercinta. cuma, jangan pula melupai 'imtihan sebenar' di kemudian hari nanti!
Para tentera Allah sekalian,
Ingatlah ! Tidak akan melangkah kaki ini di Mahshar nanti, kecuali setelah dihisab 1001 perkara, tidak terkecuali amanah ilmu yang kita bahui semua !!!Jangan 'kelabu mata' dengan secetek ilmu yang kita miliki sehingga sanggup menggadainya dengan harga semurahnya, cuma hanya ingin memenuhi tembolak nafsu rakus mengejar hampas dunia meterialisma yang sementara lagi hina !
AWAS teman-teman !!!
"Bukankah Allah lebih besar dan utama dari diri kita sendiri!"
"Sebarluaskan ilmuNYA ini sesuai dengan ketinggianNya"
"Dakwahnya lebih berharga dari apa yang kita miliki"
Ikwanul ahibba' wa akhawatul aizza',
Selamat menempa kejayaan dalam imtihan yang bakal ditempuhi nanti. Kejayaan sebenar ialah kejayaan kita mentadabburkan segala ilmu di dada dalam citra peribadi. bagi yang 'belum berjaya' "FASOBRUN JAMIL" !!!"menghargai kebaikan lebih mulia dan utama dari menilai keburukan"Akhirnya, buat para pejuang semua, hayatilah rangkap akhir ini ;
"Anak laki-laki (para pejuang) tak boleh dihirau panjang...
Hidupnya buat berjuang...
Kalau perahu telah dikayuhnya ke tengah...
Dia tak boleh surut pulang...
Meski bagaimana besar gelombang...
Biarkan kemudinya patah...
Biarkan layarnya robek...
itu lebih mulia daripada berbalik pulang"
(PAK HAMKA)
Al-Hamra': Selamat menuju ke medan Juang!
Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home